Skip to main content
Tampilan KhasHeightsAcara & Pengumuman

Seminar dan Sesi Libat Urus Pengurusan Fasiliti (FM) Sempena ICW 2024

By Disember 9, 2024No Comments
Seminar And Engagement Session On Facility Management (FM) In Conjunction With ICW 2024

Seminar dan Sesi Libat Urus Pengurusan Fasiliti bersempena ICW 2024 yang bertemakan “Evolving Excellence and Best Practices in Malaysian Facilities Management” telah berlangsung dengan jayanya pada 22 hingga 24 Oktober 2024 di MITEC, Kuala Lumpur.

Acara ini dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Kontraktor (BPK), CIDB bersama CREAM, serta disokong oleh agensi-agensi utama iaitu Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), The Malaysian Asset and Project Management Association (MAPMA), Malaysian Association of Facility Management (MAFM), Board of Engineers Malaysia (BEM), Malaysian Institute of Property & Facility Managers (MIPFM), dan Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM).

Sesi Libat Urus FM (22 dan 23 Oktober 2024)
Tiga sesi libat urus telah berjaya mengumpulkan hampir keseluruhan 100 orang peserta. Setiap sesi menampilkan dua penceramah dan seorang moderator, dengan fokus utama pada perbincangan isu-isu kritikal berkaitan pengurusan fasiliti dan pandangan daripada sektor awam dan swasta. Objektif utama adalah untuk merumuskan cadangan-cadangan yang dapat memperkukuh amalan fasiliti di Malaysia.

Seminar FM (24 Oktober 2024)
Seminar ini berjaya menarik seramai 269 orang peserta dan menjadi kemuncak acara dengan sesi masterclass daripada penceramah terkemuka dunia iaitu Mr. Stan Mitchell, Chairman and CEO of Key Facilities Management, Scotland, United Kingdom. Ucapan perasmian oleh YBhg Dato’ Seri Azman bin Ibrahim, Ketua Setiausaha, Kementerian Kerja Raya (KKR), menyeru kepada integrasi teknologi dan amalan terbaik dalam pengurusan fasiliti. Beliau menekankan bahawa langkah ini penting untuk memperkukuh daya saing industri pembinaan dan memastikan sektor fasiliti di Malaysia terus berdaya tahan dan kompetitif di peringkat global.

Sesi penutup yang disampaikan oleh Yang Berusaha En. Rozaiman Haji Hassan, Pengurus Besar Kanan Sektor Pembangunan Kontraktor & Personel Binaan, CIDB merumuskan kejayaan bagi seminar dan sesi libat urus ini adalah gabungan pakar dan profesional industri pengurusan fasiliti secara menyeluruh. Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dan menyampaikan resolusi untuk meningkatkan integrasi teknologi dan memacu inovasi dalam sektor ini.

Maklum balas daripada para peserta sangat memberangsangkan di mana mereka menekankan kepentingan seminar dan sesi libat urus bersama pakar pengurusan fasiliti dalam industri pembinaan.

Program seumpama ini jelas menjadi platform penting yang mampu mendorong transformasi pengurusan fasiliti di Malaysia, membuka jalan ke arah masa depan yang lebih mampan, inovatif, dan berdaya saing.